YAYASAN INFAQ MALAYSIA
Tabung Bantuan Kecemasan Syria-Turkiye
Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ المُؤْمِنِينَ في تَوادِّهِمْ، وتَراحُمِهِمْ، وتَعاطُفِهِمْ مَثَلُ الجَسَدِ إذا اشْتَكَى منه عُضْوٌ تَداعَى له سائِرُ الجَسَدِ بالسَّهَرِ والْحُمَّى
Maksudnya:
” Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu jasad. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.”( Riwayat Muslim )
Gempa bumi tergempar berukuran 7.8 magnitud pada kira-kira jam 4 pagi telah menggegarkan bumi Turkiye dan Syria saat jutaan masyarakat negara itu sedang lena. Gempa bumi berlaku dengan mengejut dan tanpa amaran dari pihak berkuasa menyebabkan rakyat setempat tidak sempat membuat apa-apa persediaan awal. Gegaran kuat Isnin, 4 pagi ini turut dirasai sehingga ke Lebanon, Palestin dan Iraq.
Goncangan itu mengakibatkan ratusan bangunan kediaman telah runtuh menyembah bumi. Bangunan yang rendah ataupun yang tinggi, keadaan yang dahsyat ini belum pernah disaksikan di dalam sejarah abad ini. Ada yang berjaya lari menyelamatkan diri, tak sedikit angka yang terkorban dan masih terperangkap di bawah runtuhan.
Tidak berakhir di situ, gegaran kedua berukuran 7.7 magnitud yang berlaku pada awal tengah hari pada hari yang sama telah membuatkan lebih banyak bangunan hancur ranap.
Sehingga kini, lebih 50,000 nyawa telah terkorban. Puluhan ribu yang lain cedera. Rakyat gegak gempita, lebih 1.5 juta kehilangan tempat kediaman.
Ini adalah gempa terbesar yang berlaku dalam sejarah Turkiye dan Syria sejak tahun 1939. Pada waktu itu, gempa dengan gegaran yang sama telah mengorbankan seramai 30,000 mangsa.
Tanpa diduga hari ini, Syria yang bagaikan baru ingin mula bernafas semula kembali bergegar dan musnah. Bandar-bandar yang sedang dibina semula setelah rata-rata binaan utama hancur musnah akibat serangan dan peperangan sejak 11 tahun lalu.
Derita rakyat Syria bertambah saat musim sejuk mendingin ekstrim. Kesejukan membuatkan mereka terdesak mencari tempat perlindungan. Mereka juga tidak miliki bekalan makanan serta keperluan yang lain. Malah, jentera bantuan yang hadir membantu mereka di Syria juga sangat terhad.
Atas sebab itu, Yayasan Infaq Malaysia mengambil keputusan untuk melancarkan Tabung Kecemasan Gempa Syria & Turkiye bagi membantu saudara-saudara kita yang ditimpa musibah dahsyat saat ini.
Fokus utama bantuan yang cuba kita sampaikan adalah bantuan asasi, makanan, kesihatan, rawatan, tempat tinggal sementara, baik pulih kediaman serta bantuan kewangan.
Saudara kita di Syria sangat memerlukan kita waktu ini. Tanpa sumbangan dan bantuan kita, mereka mungkin akan terus menderita.
Jangan biarkan mereka menghadapi musibah ini sendirian. Bukankah kita dan mereka bersaudara?