Infaq Foundation

Yayasan Infaq Malaysia menerima sokongan untuk program pembangunan pelajar dan bantuan masyarakat

Kuala Lumpur, 28 Oktober 2024 – Yayasan Infaq Malaysia telah menerima sokongan daripada pelbagai pihak bagi usaha-usaha pembangunan pelajar serta program kebajikan masyarakat.

Baru-baru ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam “Cadangan Pembangunan Sebuah Sekolah Sains Tahfiz Antarabangsa di Muar, Johor.” Projek ini bertujuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi kepada pelajar asnaf terpilih, dengan jangkaan bermula pada pertengahan tahun 2025. YADIM juga mengumumkan beberapa program sokongan tambahan yang merangkumi latihan dakwah, aktiviti lestari, serta program digital untuk memperkasakan para pelajar dan masyarakat.

Selain itu, permohonan sokongan Yayasan Infaq Malaysia untuk melaksanakan “Program Food Aid” di Masjid Kuala Lumpur telah diterima oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Program ini akan memberi manfaat kepada komuniti setempat dengan memastikan bantuan makanan sampai kepada mereka yang memerlukan. JAWI akan memastikan kelancaran program ini melalui kerjasama dengan jawatankuasa masjid yang berkaitan.

Sementara itu, perkembangan positif turut dicatatkan dalam usaha meningkatkan kecekapan pelajar dalam bidang kerjaya. Yayasan Infaq Malaysia telah menjalankan program latihan pekerjaan di Hotel Perdana, Kuala Lumpur. Muhammad Ariff Haiqal, salah seorang peserta, berjaya menamatkan latihan dalam bidang perhotelan, khususnya di bahagian housekeeping. Latihan ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran serta membina kerjaya dalam industri perhotelan.

Yayasan Infaq Malaysia terus komited dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan. Dengan sokongan daripada pelbagai pihak, Yayasan berharap dapat memperluaskan lagi program-program yang memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Yayasan Infaq Malaysia atau hubungi terus pejabat kami di Kuala Lumpur.